minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

GUS DUR, SINGAPURA DAN ORANG MELAYU

Memang Gus Dur atau Abd. Rahman Wahid mempunyai alasan ketika memulakan perang mulut dengan Singapura dan Menteri Kanannya, Lee Kuan Yew. Antara lain ia menuduh Singapura menghalang Papua New Guinea dan Timor Timur menganggotai ASEAN. Gus Dur juga menuduh para pemimpin Singapura termasuk rakyatnya suka merendah-rendahkan orang Melayu .Bahkan mereka menganggap orang Melayu ini tidak wujud. Singapura hanya berminat untuk mencari keuntungan, tambah Gus Dur. Soalnya mengapa Presiden Indonesia yang dilantik melalui sistem demokrasi selepas 30 tahun berada di bawah sistem kukubesi itu berkata demikian, dialah sahaja yang tahu alasannya. Kita hanya boleh menduga bahawa kerenah Singapura sering menimbulkan masalah terhadap jiran-jirannya termasuk Malaysia sendiri.

Bila baru-baru ini Singapura membeli peluru berpandu dan mengatakan kepada dunia dia bila-bila masa sahaja sanggup menangkis siapa-siapa sahaja yang ingin menyerangnya menampakkan keangkuhan Singapura itu sendiri. Selain itu Singapura juga mengambil kesempatan dari krisis matawang yang melanda negara jiran itu.“Sebagai jiran terdekat Singapura dilihat terlalu lambat memberi bantuan ketika Indonesia dilanda krisis ekonomi, selain itu ada perasaan Singapura mengambil keuntungan dari krisis negara ini kerana spekulasi matawang rupiah beroperasi di negara republik tersebut,” demikian jelas bekas penasihat Presiden, Dewi Fortuna (Utusan Malaysia,28.11.2000).

Kritikan Gus Dur itu kemudian disokong oleh Zin Mahmud dalam rencananya yang mengupas kajian Dr.Lily Zubaidah Rahim dalam buku yang berbentuk monograf  bertajuk The Singapore Dilemma: The Political Educational Marginality of The Malay Community dengan judul rencana Singapura Pinggirkan Melayu(Utusan Malaysia, 13.12.2000). Dr Lily adalah anak kepada A.Rahim Ishak, saudara lelaki Allahyarham Yusuf Ishak, Presiden Pertama Singapura yang kini menjadi pensyarah di Universiti Sydney, Australia. Dr.Lily antara lain menyebut PAP, parti yang memerintah Singapura sering menyebut kelemahan orang Melayu dari segi budaya dan intelektual, berbanding kaum China yang kelihatan lebih cergas dan cerdik. Kepimpinan Singapura sebenarnya lebih cenderung untuk menilai masyarakatnya melalui apa yang mereka namakan sistem meritokrasi. Meritokrasi bermakna sistem yang berdasarkan kemampuan dan bukannya keturunan atau faktor yang lain.  

Sebab itulah kita melihat di Singapura yang dulunya lebih dikenali sebagai Temasik di alam Melayu, masyarakat Melayu dipinggirkan di negara yang mereka sendiri adalah penduduk asalnya. Orang Melayu sering diketepikan dari angkatan tentera, dari perkhidmatan awam, dari sistem pendidikan bahkan dari berbagai segi termasuk soal bahasa dan sebagainya. Meritokrasi yang berjalan di Singapura hanyalah memberikan keuntungan kepada kaum yang kuat, pintar dan memiliki kekayaan dari segi ekonomi.

Dengan begitu kaum China lebih dominan berbanding kaum yang lain di negara berkenaan.

Mengapakah terjadi demikian adalah satu soalan yang menarik untuk dikaji tetapi mungkin sukar mencari jawabannya. Sejarah telah mecatitkan bahawa Singapura yang dulunya adalah sebahagian dari Tanah Melayu telah menyertai Malaysia bersama-sama Sabah dan Sarawak. Tetapi ia tidak kekal lama. Perselisihan pendapat antara Tunku Abd.Rahaman dan Lee Kuan Yew akhirnya membawa perpisahan dengan Singapura. Mungkin Tunku ada alasan yang kuat melepaskan Singapura walaupun pada mulanya ia tersangat ingin untuk menyertai Malaysia kerana bimbangkan ancaman-ancaman komunis waktu itu. Tetapi barangkali Lee Kuan Yew tidak suka diperintah oleh orang Melayu. “ Singapura tidak pernah menyetujui pemerintahan oleh bangsa Melayu apabila ia menyertai Malaysia. Yang dipersetujuinya ialah pemerintahan oleh rakyat Malaysia. Ada orang yang telah melakukan pertimbangan yang salah jika dia berpendapat bahawa penduduk Singapura menyetujui pemerintahan oleh bangsa Melayu sewaktu menyertai Malaysia (Tunku Abd.Rahman, Looking Back).”   

Apa pun masalahnya Tunku telah pun melepaskan Singapura setelah memberitahu Tun Abd.Razak dan Tun Dr.Ismail ketika itu yang menjadi orang kuat Perikatan (sekarang BN). Dengan demikian Perikatan (BN)lah yang bertanggungjawab menjadikan Singapura seperti yang ada sekarang. Perikatan (BN) telah pun ditipu dan  berjaya dipermainkan oleh kelicikan politik Lee Kuan Yew.

Singapura pula di satu pihak tidaklah sepatutnya meminggirkan masyarakat Melayu sehingga mereka dikenal sebagai “marginal society” sepertimana Malaysia tidak pernah meminggirkan masyarakat China di Malaysia sekali pun kebelakangan ini ada suara-suara sumbang tentang kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh semua kaum sebelum merdeka itu. Walaubagaimana pun peminggiran orang Melayu itu tetap berterusan jika tidak ada sebarang usaha dari pemimpin-pemimpin Melayu sendiri untuk mengembalikan maruah dan kedudukan orang Melayu di Singapura. Mungkinkah teguran Gus Dur terhadap negara Republik itu dapat dianggap  sebagai satu usaha awal ke arah mengembalikan semula kedudukan orang-oarng Melayu ke tempat asalnya? Kita sebenarnya masih belum dapat memikirkan permasalahan ini kerana masih lagi berhadapan dengan BN  dengan segala keangkuhannya sekalipun kesilapan demi kesilapan menimpa kerajaan Barisan Nasional itu. Mungkin sudah sampai waktunya satu dasar luar harus difikirkan oleh Barisan Alternatif  sekalipun kuasa masih tiada di tangan sendiri.

AlKundangi,

14.12.2000   

 

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter